BEKAS Pembantu Eksekutif Akaun Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas 60 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM144,480.20, lapan tahun lalu.

Hakim Diana Md Razali menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang berjalan serentak bermula hari ini ke atas Kamrizah Kamarudin, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa melakukan pecah amanah dengan memalsukan tandatangan majikan dan membuat tuntutan palsu yang dibayar menerusi cek Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kepada syarikat yang didaftarkan atas namanya sendiri iaitu Maziela Enterprise.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Suite 1-2, Wisma Arab Malaysia, Jalan Tuanku Munawir di Seremban, pada 5 Januari 2011 sehingga 24 September 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Noralis memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh memandangkan wanita itu individu yang diamanahkan dalam institusi Islam selain kesalahan yang dilakukan adalah jenayah terancang.

Bagaimanapun, Kamrizah pula dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan dia adalah ibu tunggal dan baru kematian suami selain mempunyai tanggungan seorang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 2:30 PM
BEKAS Pembantu Eksekutif Akaun Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamrizah Kamarudin, 49 dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas 60 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM144,480 di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman