ZAINI (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam Op Laras di Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan. FOTO Fardy Bungga.
Fardy Bungga


TIGA lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah dan pakar pembuatan senjata api jenis bakakuk ditembak mati dalam operasi khas di Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, ketiga-tiganya berusia antara 30 hingga 50 tahun meninggal dunia selepas berbalas tembakan dengan polis di dua lokasi berasingan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, Op Laras itu digerakkan hasil maklumat risikan dan disertai 80 anggota Tiger Platoon, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Cawangan Khas.

Katanya, serbuan pertama di sebuah rumah dihuni tujuh sekeluarga, yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Semasa melakukan penggeledahan di rumah itu, seorang lelaki hadir menunggang motosikal, namun dia melarikan diri ke dalam semak selepas menyedari kehadiran polis.

“Ketika itu, dia juga melepaskan tembakan menyebabkan anggota terpaksa membalas untuk mempertahankan diri.

“Pemeriksaan sebaik keadaan reda mendapati suspek sudah meninggal dunia terkena tembakan di badan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir Ketua JSJ Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut di badan suspek menemui satu laras senapang buatan sendiri yang mengandungi satu kelongsong bersama enam butir peluru hidup dan 13 paket lutsinar berisi dadah disyaki syabu.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah pertama itu turut menjumpai dua laras senapang angin, sebilah parang dan empat butir peluru, satu paket dadah seberat 1.35 gram, satu alat penimbang elektronik serta 13 telefon bimbit.

Zaini memberitahu, serbuan kedua dilakukan terhadap tiga rumah yang terletak 2.4 kilometer dari lokasi pertama dan dua suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan.

“Pasukan membalas tembakan dan pemeriksaan lanjut terhadap kedua-duanya menjumpai dua senjata api jenis ‘Revolver Smith and Wesson 38’ dan satu pucuk pistol buatan sendiri,” katanya.

Turut dirampas bersama mereka adalah wang RM2,376, wang Filipina Peso 700, sembilan bungkus plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 800 gram.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah yang diserbu menemui dua laras senapang angin buatan sendiri, beberapa komponen senjata api, tujuh peluru senapang patah dan dua butir peluru pistol.

“Polis turut menahan sepasang suami isteri bersama dua anak termasuk seorang bayi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penjenayah berkenaan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 3:04 PM