TUJUH lelaki yang ditahan dalam Op Cegah di Kota Kinabalu dan Penampang. FOTO Ihsan AADK.
Fardy Bungga


LELAKI berusia 24 tahun memberi alasan tertekan mengumpul duit untuk majlis kahwinnya, sebagai punca dia mengambil dadah.

Dia memberitahu demikian ketika ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Cegah di rumahnya di Manggatal, Kota Kinabalu, kelmarin.

Sebelum ditahan, ibu lelaki itu turut campur tangan dengan melakukan provokasi bagi menghalang anggota AADK membawa keluar anaknya.

Namun, keadaan dapat diredakan sebelum lelaki itu dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Ketua operasi AADK Kota Kinabalu, Zakry Mat Zudin berkata, lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik komputer mengaku sudah bertunang dan merancang berkahwin pada tahun depan.

Katanya, dia antara tujuh lelaki ditahan kerana disyaki dalam penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi di Kota Kinabalu dan Penampang.

“Hasil ujian yang dijalankan, lima lelaki positif dadah jenis syabu termasuk juruteknik komputer itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:34 PM