Sukri (kiri) menunjukkan belut yang ditangkapnya kepada kanak-kanak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENDUDUK Kampung Baru Tetambah, Manir, berpesta ikan darat dan belut selepas banjir surut di beberapa kawasan di kampung itu sejak kelmarin.

Sukri Sulong, 34, berkata, dia tidak melepaskan peluang menahan perangkap belut di kawasan berpaya dan dinaiki air.

“Sejak kelmarin, air semakin surut di beberapa kawasan dan memang sesuai menahan pukat dan perangkap belut.

“Pelbagai jenis ikan seperti ikan puyu, sepat, haruan dan keli serta belut diperoleh penduduk selepas menahan pukat dan perangkap di paya dan kawasan dinaiki air sejak dua hari lalu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, kegiatan menangkap ikan dan belut di paya sudah menjadi aktiviti rutin penduduk di kampung itu setiap hari.

“Permintaan terhadap ikan air tawar dan belut sentiasa tinggi, jadi kami perlu menangkapnya pada setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Cuma pada musim banjir ini, jumlah tangkapan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Walaupun jumlah tangkapan bertambah pada musim ini, harga semua tangkapan tetap sama,” katanya.

Menurutnya, dia biasanya menahan perangkap belut pada lewat petang dan memeriksanya keesokan hari.

“Sekarang musim cuti sekolah, ramai kanak-kanak berkhatan dan memerlukan ikan haruan dan belut sebagai rawatan tradisional selepas berkhatan menyebabkan permintaan dua spesis ini tinggi,” katanya.

Bagi Sukri Hamzah, 25, dia dan rakan memang menangkap ikan air tawar setiap kali musim tengkujuh.

“Aktiviti ini sudah seperti pesta tahunan dan rugi jika tidak memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Seronok apabila pukat yang ditahan di kawasan banjir berjaya mengena ikan dalam jumlah banyak.

“Ikan yang ditangkap dimakan sendiri selain ada dijual sekali gus menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:57 PM