Allahyarham Datuk Daud Muhammad
Muhamaad Razis Ismail

KETUA Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad, 84, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu petang hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman yang dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya, arwah akan dikebumikan di Kota Bharu pada malam ini,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham mengembuskan nafas terakhirnya pada 6.55 petang.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut berkongsi berita sedih itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan di akaun Facebook rasminya.

“Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 dan menjadi penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 Peringkat Kebangsaan.

Antara sumbangan Allahyarham adalah menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Ahli MAIK.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:29 PM