BASRI menyiapkan tempahan bot fiber pelanggan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TEMPAHAN bot fiber mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang musim tengkujuh, sekali gus memberi sumber rezeki kepada pembuat bot di Kampung Chegar 8, Dabong, dekat sini.

Malah, Basri Mahmud, 49, yang juga pembuat bot tunggal di kawasan hulu Kelantan yang membuka bengkel itu sejak sembilan tahun lalu, pernah menerima tempahan lebih 200 tempahan bot fiber, sebelum banjir besar 2014.

Bagaimanapun, katanya, tempahan bot semakin berkurangan kepada lebih 100 unit setahun selepas bencana besar itu kerana ramai memiliki bot.

“Namun, saya masih kekal mendapat permintaan kerana bot yang dihasilkan bukan sahaja murah, tetapi berkualiti.

“Harga yang dijual tidak mahal hanya sekitar RM1,000 hingga RM2,500 sebuah bergantung kepada saiz,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Chegar 8 Dabong, di sini, semalam.

Katanya, sebelum ini dia membuat bot daripada kayu, tetapi ia tidak tahan lama sebelum bertukar kepada fiber yang lebih ringan dan mudah digunakan.

“Tempahan bukan sahaja dari sekitar kampung ini dan Kuala Krai, tetapi daerah lain termasuk Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

“Saya tidak pernah menjalani latihan atau kursus membuat bot, sebaliknya hanya berusaha sendiri dan Alhamdulillah apa yang saya buat itu memberi kejayaan dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Katanya, bot itu bukan sahaja mudah digunakan ketika berlaku banjir terutama penduduk di kawasan rendah tetapi untuk kegunaan menangkap ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:00 AM