Anwar (kanan) melancarkan gimik perasmian Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepemimpinan dan ahli bahawa PKR bukanlah parti untuk percaturan golongan elit yang berkuasa.

Sebaliknya Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan tegas mengulangi PKR adalah parti yang mengutamakan dan meneruskan kepedulian terhadap rakyat.

“Jangan kita anggap politik ini sebagai percaturan golongan elit yang berkuasa kerana sekarang kita sudah ada perkataan “harapan.”

“Kita kena pastikan lima atau 10 tahun akan datang nasib rakyat jauh lebih baik daripada dulu dan jawatan yang ada tidak wajar mengubah sikap kita untuk meneruskan kepedulian terhadap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Dasar Presiden Kongres Nasional PKR 2019 ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Turut hadir barisan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha.

Berucap di hadapan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara, Anwar turut mengajak mereka mengimbau semula perjuangan selama 20 tahun PKR yang melalui pelbagai kisah penderitaan.

“Parti ini dibangun dengan derita sebagai parti jalanan., tauke besar tidak bersama-sama dengan kita, orang kaya tidak memberi dana kepada kita tapi rakyat dan cita-cita bersama-sama dengan kita.

“PKR tetap komited menyelesaikan masalah rakyat semua kaum terutama berkaitan dengan pembasmian kemiskinan dan kesenjangan ekonomi,” katanya.

Namun di sebalik segala pengorbanan itu, beliau turut mengajak kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak terlalu yakin dengan mandat diberikan rakyat dan sombong dengan kuasa dikecapi hari ini.

Menjadikan kekalahan PH pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, beliau menyifatkan keputusan sebagai peringatan kepada pimpinan PH.

“PRK Tanjung Piai sudah berlalu dan ini memberi kejutan luar biasa dan sejarah dalam politik negara.

“Belum pernah dalam sejarah, kerajaan yang memerintah mendapat tamparan begitu hebat.

“Ambillah iktibar, tawaduk, anggaplah (keputusan PRK) itu sebagai peringatan kepada semua kepemimpinan PH,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:12 PM