PETIKAN video murid sekolah agama menyanyikan lagu Negaraku versi Arab.
Mohd Azam Shah Yaacob


BELUM reda isu lagu Negaraku versi bahasa Mandarin, kini tersebar pula tiga klip video memaparkan lagu kebangsaan itu dinyanyikan dalam bahasa Arab.

Rakaman itu masing-masing berdurasi antara satu minit dua saat hingga satu minit 28 saat, dipercayai berlaku di dalam negara, namun lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.

Dua daripada klip menunjukkan lagu Negaraku yang dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah.

Manakala, sebuah klip lagi dipercayai dirakamkan dalam kelas agama yang dihadiri sekumpulan individu dewasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis masih mengenal pasti lokasi lagu kebangsaan itu dirakam dan ditularkan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968, yang turut menjelaskan larangan tidak mengubah lagu Negaraku.

“Buat masa ini kita masih belum dapat memastikan di mana kejadian itu dirakamkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita juga menyiasat apa tujuan lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan terhadap Negaraku versi Mandarin dinyanyikan sekumpulan murid sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan, Mior Faridalatrash berkata, sudah merakam keterangan pengurusan sekolah yang terbabit.

Katanya, pihaknya akan berjumpa semula pengurusan sekolah itu untuk maklumat lanjut sebelum kertas siasatan dilengkapkan.

Berita berkaitan:

  • Negaraku Mandarin: Jabatan Pendidikan dah ambil tindakan
  • Negaraku versi Mandarin untuk kefahaman
  • Polis siasat lagu Negaraku versi Mandarin
  • Isu Negaraku versi Mandarin: KPM siasat
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:33 PM