LELAKI yang ditahan dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PGA
LELAKI yang ditahan dalam kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Wilayah Utara menahan lelaki tempatan selepas didapati menunggang motosikal sambil membawa guni berisi 210 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,500 di Laluan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) di KTJ C -15, di Padang Besar, semalam.

Komander Briged Utara, PGA Hulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pada kejadian 9.30 pagi itu, anggotanya sedang melakukan rondaan dalam Op Wawasan Kedah/Perlis dan terserempak dengan suspek berusia 20 tahun bersama tiga lagi rakannya menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di laluan berkenaan.

“Kumpulan terbabit melintas laluan keselamatan yang diwartakan sebagai kawasan larangan kepada orang awam dengan menunggang motosikal sambil membawa tujuh guni dipercayai berisi daun ketum menghala ke arah tembok sempadan Malaysia - Thailand.

“Anggota kami bertindak mengejar kumpulan lelaki terbabit dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka, manakala tiga rakannya lagi bertindak meninggalkan motosikal sebelum meloloskan diri ke hutan berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, suspek turut tercedera di bibir, akibat terjatuh dari motosikalnya sewaktu dikejar anggota PGA.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui tujuh guni berisi 210 kg daun ketum yang diletakkan di atas kesemua motosikal berkenaan.

“Pihak kami percaya kesemua daun ketum berkenaan akan diseludup ke negara jiran berikutan permintaannya yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, manakala suspek bersama barangan rampasan iaitu daun ketum dan motosikal diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata sepanjang Disember ini, pihaknya merampas lebih 1.62 tan daun ketum yang bernilai RM244,200 dalam beberapa serbuan di tiga lokasi yang dijadikan sebagai transit dan tempat penyimpanan sementara daun ketum di Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 9:36 AM