DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


LAGU Negaraku tidak boleh dinyanyikan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan oleh rakyat negara ini, tegas Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, rakyat Malaysia sepatutnya tahu menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa kebangsaan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, apa yang dibenarkan hanya terjemahan lagu Negaraku ditulis dalam bahasa lain bagi kefahaman orang bukan Melayu memahami maksudnya yang sebenar.

“Kita tidak boleh nyanyi (Negaraku) dalam bahasa lain, tetapi makna lagu Negaraku dimasukkan ke dalam buku bagi orang bukan Melayu boleh faham perkataannya.

“Tetapi untuk menyanyi tetap kena guna bahasa kebangsaan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan dan Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Langkawi, di Langkawi, hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya, mengumumkan akan melakukan siasatan terperinci berhubung penularan video murid sebuah sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dipetik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar Perlembagaan sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kereta terbang yang dibangkitkan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019, beliau menjelaskan persepsi rakyat terhadap projek itu perlu diubah.

“Silap (projek ini) adalah kerana ia dipanggil kereta terbang kerana ia sebenarnya adalah dron besar yang boleh membawa orang.

“Dron ini boleh membawa orang dari tempat ke suatu tempat lain. Kalau kereta kena pakai jalan, dron ini boleh terbang,” katanya.

Perwakilan AMANAH Pahang ketika membahaskan ucapan dasar presiden semalam, mendakwa projek kereta terbang dianggap sebagai satu projek paling tidak guna dan memalukan sehingga sukar dijelaskan kepada rakyat.

Dr Mahathir berkata, rakyat juga tidak dipaksa untuk menerima idea projek itu jika tidak sukakannya.

Berita berkaitan:

  • angan persenda Negaraku, Jalur Gemilang - Lam Thye
  • Negaraku versi bahasa Arab pula keluar
  • Negaraku versi Mandarin untuk kefahaman
  • Polis siasat lagu Negaraku versi Mandarin
  • Isu Negaraku versi Mandarin: KPM siasat
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 3:07 PM