BEKAS Presiden MIC, Tun S Samy Vellu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
BEKAS Presiden MIC, Tun S Samy Vellu. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Murni Wan Omar


DATUK Seri S Vell Paari memfailkan saman pemula terhadap bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan tahap kesihatan mental bapanya itu.

Vell Paari, 57, sebagai plaintif memfailkan saman itu di kaunter pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Mathews Hun Lachimanan pada 2 Disember lalu dengan menamakan Samy Vellu, 82, sebagai defendan.

Berdasarkan saman pemula, plaintif memohon siasatan diadakan untuk menentukan sama ada defendan mempunyai masalah mental serta tidak berupaya untuk menguruskan diri dan hal ehwal dirinya.

Plaintif membuat permohonan itu mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 bagi menentukan tempoh masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Selain itu, ia bagi menentukan sama ada defendan berupaya memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihaknya serta jenis harta dimiliki Samy Vellu.

Vell Paari turut memohon supaya Konsultan Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Advensitive Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mentalnya.

Plaintif memohon dirinya, peguam Datuk C Vijaya Kumar atau individu lain dilantik untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal defendan jika Samy Vellu didapati bercelaru minda serta tidak berupaya menguruskan dirinya.

Sementara itu, Vell Paari melalui afidavit sokongannya berkata ibunya, Toh Puan R Indrani, 79, dan adik perempuannya, S Mangayerkarasi, 56, tahu mengenai permohonannya dan akan membuat afidavit berasingan bagi mengesahkan sokongan mereka.

Beliau berkata, ibu dan adiknya memerhati kemerosotan progresif dalam kemampuan kognitif Samy Vellu sejak 2017 yang mengakibatkan lelaki itu mengalami gangguan serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, Konsultan Psikiatri dari Australia, Profesor David Ames sudah mengenal pasti bahawa defendan mengalami dementia pada 2017 dan sudah diberi ubat untuk rawatan.

Plaintif berkata, Konsultan Psikiatri dari Hospital Pantai, Dr Bharathi Vengadasalam mengesahkan bahawa defendan mengalami ‘Major Neurocognitive’ dan tidak dapat melakukan banyak aktiviti termasuk keupayaan menguruskan kewangan dan estet termasuk keupayaan membuat keputusan.

Vell Paari mendakwa penemuan kedua-dua doktor itu cukup memperlihatkan bapanya bercelaru mental dan tidak lagi memiliki keupayaan fizikal serta mental untuk menguruskan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 4:56 PM