JOHOR BAHRU: Sejak dilaksanakan pada 2016, lebih 5,000 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima manfaat menerusi UTMPrihatin termasuk program Free Meal Bento yang diadakan secara mingguan.

Program mengagihkan makanan percuma kepada penuntut UTM bagi meringankan mereka dijalankan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sekali gus sebagai tanda penyumbang berkongsi rezeki dengan pelajar.

Pensyarah Sekolah Pendidikan, FSSK, Profesor Madya Dr Fatin Aliah Phang berkata, makanan yang diagihkan kepada penuntut itu disediakan sendiri penuntut Kursus Asas Penyediaan Makanan dan Pemakanan menggunakan dana yang diperolehi melalui sumbangan pensyarah.

“Program ini berkonsepkan daripada penuntut kepada penuntut. Kita juga menyediakan ruang kepada staf dan pensyarah yang mahu menyumbang tetapi tiada saluran, jadi yang nak menyumbang dan yang mahu menerima sumbangan, inilah salurannya.

“Selain pensyarah, sumbangan ini kita terima juga daripada staf sokongan, keluarga staf, alumni dan penuntut yang mahu membantu rakan lain,” katanya ketika ditemui pada program Free Meal Market di UTM Skudai di sini, semalam.

Bagi setiap sesi pengagihan, 100 penuntut boleh mendapatkan makanan disediakan secara percuma dan sejak 2016, 5,000 penuntut sudah dibantu.

Selain itu, beliau berkata, turut diadakan adalah ‘Free Market’ yang mana pensyarah menyumbangkan alat tulis dan tanpa sebarang bayaran, penuntut boleh mendapatkan alat tulis itu tidak lebih lima item seorang.

Ditanya mengenai keberkesanan program diadakan sehingga ia diteruskan 48 kali, Fatin Aliah berkata, walaupun impaknya kecil, ia memberi kesan jangka masa panjang.

“Memang kita nampak impaknya kecil sahaja, penuntut lapar, ambil makanan, makan dan kenyang. Tetapi, kita sebenarnya mahu lihat sikap penuntut yang tahu menghargai sumbangan diberi serta mahu membudayakan amalan bersedekah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 6:00 AM
SEBAHAGIAN penuntut UTM beratur untuk mengambil makanan percuma menerusi program Free Meal Bento UTM.