GAMBAR hiasan


NELAYAN ditemui lemas di Sungai Mawai Lama di Kota Tinggi, selepas dipercayai tergelincir dari jeti nelayan sungai berkenaan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kehilangan mangsa berusia 46 tahun itu pada 7 malam.

“Berikutan itu sepasukan anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi dan 45 minit kemudian. Mayat mangsa ditemui oleh orang awam.

“Kami dapati mangsa tidak terbabit dalam pemindahan banjir dan siasatan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Berikutan itu, kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Ibrahim Wahid berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan pada 8.47 malam.

Beliau berkata, susulan itu, lapan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, kita dapati seorang lelaki lemas dan ditemui oleh orang awam.

“Kami membantu membawa mayat ke Balai Polis Mawai kerana tempat kejadian dinaiki air.

“Bagaimanapun, apabila tiba di Balai Polis Mawai, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan kes diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:57 AM