KEADAAN kemalangan yang mengorbankan empat beranak di Kaikoura, New Zealand, Jumaat lalu. FOTO NSTP
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan empat beranak di Kaikoura, New Zealand, Jumaat lalu. FOTO NSTP
Mohd Izham Unnip Abdullah


EMPAT sekeluarga yang maut akibat kemalangan jalan raya di New Zealand, Jumaat lalu selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery, Christchurch pada 12.30 tengah hari waktu tempatan atau 7.30 pagi hari ini, waktu Malaysia.

Jenazah Dr Rumihati Abdul Hamid, 49; suaminya Adenan Jeman, 49, dan dua anak mereka, Nur Irfan, 15, serta Nur Aleeyah Maisarah, 13, sebelum itu disembahyangkan di Masjid Christchurch, New Zealand.

Solat jenazah turut disertai abang Allahyarham Dr Rumihati, Othman Abd Hamid dan beberapa ahli keluarga bersama Persatuan Muslim Centerbury dan komuniti masjid setempat.

Pada masa yang sama, solat jenazah ghaib turut diadakan di rumah keluarga Dr Rumihati di Kampung Ulu Putatan, Putatan, dengan disertai kira-kira 20 ahli keluarga dan diimamkan ipar Dr Rumihati, Shaifuddin Daud.

Sementara itu, wakil keluarga Abdul Hamid, Dr Mohd Afifi Shaiffuddin memohon jasa baik masjid di seluruh negara bagi mengadakan solat jenazah ghaib untuk jenazah empat sekeluarga itu selepas solat Maghrib, hari ini.

Katanya, surat bagi memohon mengadakan solat jenazah ghaib itu juga sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu.

“Kami ingin memohon jasa baik pihak tuan agar dapat turut serta menyempurnakan solat sunat jenazah ghaib ke atas keluarga Allahyarham Dr Rumihati selepas Maghrib hari ini, 10 Disember 2019 di masjid masing-masing.

“Semoga mereka yang telah pergi mendapat kebaikan dan rahmat di sisi Allah SWT serta dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman,” katanya menerusi surat yang diedarkan ke masjid di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia, manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan maut ketika keluarga itu bercuti di New Zealand.

Mereka sekeluarga yang sedang bercuti menaiki kereta sewa sebelum terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, pada 3.10 petang waktu tempatan atau jam 8.10 malam waktu Malaysia.

Tiga yang disahkan maut ketika kejadian ialah Dr Rumihati; 49, suaminya, Adenan Jeman, 49, dan seorang anak mereka, Nur Aleeyah Maisarah, 13.

Seorang anak mereka, Nur Irfan, 15, yang parah dalam kejadian itu, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Christchurch, kelmarin, manakala anak bongsu pasangan berkenaan yang berumur 11 tahun dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Wellington.

Berita berkaitan

Empat beranak dikebumikan esok

Empat beranak akan disemadi bersama

  • Seorang lagi meninggal dunia
  • Keluarga mangsa kemalangan tiba di New Zealand
  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 12:39 PM