KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan aktiviti perjudian dalam talian didalangi warga China yang berpangkalan di Bundusan, Penampang, Ahad lalu.

Serbuan berasingan dibuat bermula jam 6.15 petang membabitkan tiga unit kondominium dan 23 individu berusia 20 hingga 30-an berjaya ditahan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, hasil risikan berjaya mengenal pasti individu terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian oleh warga China.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium dan ada enam lelaki dipercayai sedang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di rumah berkenaan.

“Turut dirampas peralatan dipercayai digunakan untuk perjudian dalam talian termasuk 25 komputer riba, 16 papan kekunci, 23 tetikus, 25 alat pengecas, 55 telefon bimbit pelbagai jenama dan lima peranti pemindahan wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Katanya lagi, susulan serbuan, dengan dipandu suspek pihaknya menyerbu dua lagi kondominium di kawasan sama dan menahan 17 individu di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di kondominium kedua terletak bersebelahan kondominium pertama membawa kepada tangkapan 10 lelaki.

“Manakala di kondominium ketiga, ada tujuh suspek termasuk empat wanita,” katanya.

Zaini berkata, semua suspek yang ditahan warga China dan 17 daripada mempunyai dokumen yang sah manakala enam lagi tiada dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:30 AM
BARANG yang dirampas ketika serbuan di tiga kondominium, semalam.