Mohd Azam Shah Yaacob


SEMBILAN persatuan dikenal pasti terbabit dalam penganjuran majlis peringatan ke-30 Perjanjian Hatyai 1989 di Kajang, Selangor pada 1 Disember lalu.

Malah, polis mengenal pasti empat individu yang berucap pada majlis itu, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu; pengarang Persatuan Persahabatan Abad ke-21; wakil Parti Komunis Malaya (PKM) dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, sehingga kini 72 laporan polis diterima berhubung majlis itu dan enam individu sudah dirakamkan keterangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan mengambil beberapa tindakan termasuk merujuk pakar sejarah, laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pendaftar pertubuhan.

“Selain majlis di Kajang itu, kita juga mengenal pasti satu majlis sama yang sebenarnya berlaku di sebuah hotel di Hatyai, Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merujuk kepada perkembangan siasatan kes abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Perak, beliau berkata, seramai 10 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, individu itu membabitkan pembawa abu mayat serta mereka yang hadir dalam upacara dijalankan, editor sebuah portal berita tempatan, wartawan selain pengadu.

“Selain tindakan merakam keterangan mereka, kita turut mendapatkan keterangan pakar sejarah selain laporan daripada SKMM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(c) kanun sama selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Cadangan tindakan akan diusulkan kepada pejabat Peguam Negara sebaik kertas siasatan dilengkapkan,” katanya.

Berita berkaitan

Ronnie Liu beri keterangan

Polis siasat himpunan bekas ahli PKM

Kesan siapa dalang - NGO

Saya pun risau - Muhyiddin

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 8:01 AM