Mohd Shafie menyampaikan hadiah Krismas kepada kanak-kanak pada majlis perayaan Krismas Kota Kinabalu. FOTO Bernama
BERNAMA

KERAJAAN Negeri Sabah hari ini mengisytiharkan 24 Disember ini sebagai cuti am tambahan sempena Krismas bermula tahun ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pengumuman itu akan menjadikan tambahan satu hari lagi cuti am termasuk pada 25 Disember ini.

“Perkara ini kita putuskan dalam mesyuarat kabinet pagi ini dan saya berharap cuti tambahan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada mereka yang menyambut perayaan ini.

“Cuti am tambahan ini dapat membolehkan mereka yang merayakan Krismas pulang ke kampung masing-masing lebih awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 malam ini.

Turut hadir ialah tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta beberapa menteri kabinet negeri.

Mengenai sambutan itu, Mohd Shafie berkata, sambutan itu menjadi lambang perpaduan utuh dan keharmonian pelbagai kaum dan agama yang ada di negeri itu.

“Keharmonian adalah kunci utama kepada pembangunan dan kemajuan negara kita. Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan ini, demi negeri tercinta.

“Pada hemat saya, tema pada malam ini iaitu ‘Ketulenan Dalam Keharmonian’, amat bertepatan pada masanya.

“Perpaduan wujud melalui keharmonian dan keharmonian akan menjadi sumber kekuatan sama ada dalam waktu sukar, mahupun waktu senang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 11:48 PM