Zatul Iffah Zolkiply


KUALA TERENGGANU: Pekerja asing yang asyik bekerja di dua tapak pembinaan pusat beli-belah di daerah ini bertempiaran lari seperti ‘lipas kudung’ bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Tidak cukup melarikan diri, ada antara mereka cuba menyembunyikan diri bagi mengelak dicekup namun cubaan mereka sia-sia memandangkan kawasan berkenaan dikepung pihak berkuasa yang terlebih dahulu melakukan pemantauan.

Dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 9.30 pagi semalam, lebih 500 pekerja asing termasuk tiga wanita diperiksa di dua tapak pembinaan di daerah ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, daripada jumlah itu, lebih 70 pekerja asing ditahan bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen, tiada permit dan tinggal lebih masa.

“Setakat jam 12.30 tengah hari semalam, lebih 70 warga asing dari pelbagai negara ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta lmigresen 1959/63.

“Antara yang ditahan adalah warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia serta Pakistan dan mereka ini dibawa ke Unit Penguatkuasa JIM Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Salihin, setakat ini pihaknya menahan 2,405 pendatang asing atas pelbagai kesalahan bermula Januari hingga 5 Disember lalu.

ANTARA pendatang asing yang ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan pusat beli-belah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:40 AM