Foto hiasan
Mohd Roji Kawi

WANITA yang dilaporkan hilang di tebing Sungai Batang Sadong di Simunjan ditemui lemas, hari ini.

Mangsa, Siti Tamadalia Mothada, 29, yang tinggal di Kampung Tanjung Pisang ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat wanita itu ditemui kira-kira 12.30 tengah hari ini dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, gerakan SAR diaktifkan sebaik pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 pagi hari ini.

“Saksi membuat laporan memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat berada di jeti Sungai Batang Sadong untuk membuang sampah.

“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan kemudiannya dikerah ke lokasi untuk melaksanakan operasi SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, sumber berkata, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Katanya, arus sungai itu memang agak deras selepas hujan lebat semalam,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 2:54 PM