MAVCOM. FOTO arkib NSTP
MAVCOM. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


KABINET semalam bersetuju membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan fungsi-fungsi utamanya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif merasionalisasi badan pengawalseliaan penerbangan awam di bawah satu entiti akan dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan.

Katanya, malah ia dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Langkah itu selari dengan hala tuju dasar semasa kerajaan dalam merasionalisasi sektor awam terutamanya bagi meningkatkan efisiensi dan kecekapan sistem penyampaian agensi kerajaan.

“Dari segi pengurusan sumber manusia pula, sebahagian besar perjawatan di MAVCOM yang membabitkan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu akan dipindahkan di bawah CAAM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, rasionalisasi itu akan membabitkan beberapa perubahan dari segi perundangan seperti pemansuhan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) serta pindaan terhadap Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788).

“Pemansuhan Akta 771 akan membolehkan fungsi-fungsi MAVCOM kelak dipindahkan kepada CAAM,” katanya.

Katanya, inisiatif berkenaan dapat mendorong perkembangan industri penerbangan awam supaya lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan pembangunan sektor penerbangan awam yang moden, mampan, selamat dan efisien selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Sementara itu, MOT akan menstrukturkan CAAM baharu yang bersesuaian untuk memastikan proses rasionalisasi berkenaan dilaksanakan dengan lancar.

Katanya, kementerian juga akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara mengenai struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan dan perundangan.

“Kewujudan satu entiti pengawalseliaan penerbangan awam yang komprehesif kelak akan menggalakkan perkembangan industri di samping memperkasakan peranan serta profil Malaysia di landasan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:05 PM