TUN Dr Mahathir disambut oleh Menteri Perdagangan dan Industri Qatar Ali bin Ahmed Al Kuwari ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad.

TUN Dr Mahathir Mohamad menghadap Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, di istananya di sini, semalam.

Perdana Menteri diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Perdana Menteri diberi sambutan rasmi negara, dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan di Istana Emir Qatar, Amiri Diwan.

Dr Mahathir memeriksa perbarisan kehormat sempena upacara itu.

Perdana Menteri dan Emir Qatar mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan usaha mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Qatar serta isu lain yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin itu menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tertinggi antara Kementerian Luar kedua-dua negara.

Sheikh Tamim meraikan Dr Mahathir dan anggota delegasi beliau pada majlis jamuan makan tengah hari.

Terdahulu, Dr Mahathir yang tiba di Qatar semalam, mengadakan mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri di Qatar di sebuah hotel di sini.

Dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata, beliau yakin Malaysia adalah destinasi sempurna untuk pemain industri di Qatar bagi melakukan pelaburan.

“Ini terutama bagi mencapai pasaran yang lebih luas di wilayah Asean.

“Kami percaya perniagaan yang lebih luas untuk diterokai ahli perniagaan Malaysia di negara ini.

“Ketika ini syarikat Malaysia yang berada di sini adalah Gamuda, UEM,Eversendei, Holiday Villa dan Malaysia Airports,” katanya.

Dr Mahathir juga mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Qatar Foundation, Sheikha Moza Nasser Al Missned.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:50 AM