PARIT BUNTAR 12 DISEMBER 2019. Dua beradik warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut dalam kebakaran sebuah rumah di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang. NSTP/IHSAN BOMBA
Mohd Firdaus Ibrahim


KUNCI jeriji pintu rumah perlu ditempatkan di kawasan yang mudah dicapai dan dilihat bagi mengelakkan penghuni terperangkap dalam rumah jika berlakunya kebakaran.

Tips keselamatan itu dikongsikan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman ketika diminta mengulas berkaitan kematian dua wanita dalam kebakaran di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Perak, awal pagi semalam.

Menurutnya, menempatkan kunci jeriji di lokasi yang mudah dilihat dan dicapai sangat penting.

“Jika berlaku kebakaran, kebiasaannya mangsa akan panik. Bila cari kunci jeriji dan tak jumpa mereka akhirnya lemas (disebabkan asap) dan gagal selamatkan,” katanya.

Menurutnya, jeriji tingkap pula perlulah digunakan yang boleh dibuka dari dalam.

“Bagi rumah lebih dua tingkat, saya cadangkan guna jeriji tingkap yang sama selain ia juga berfungsi sebagai tangga,” katanya.

Ditanya mengenai punca kebakaran, Azmi berkata ia masih dalam siasatan pihaknya.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata, dia juga bersetuju dengan saranan Azmi.

“Bagi elakkan kunci jeriji gagal dikesan, ia (kunci jeriji) perlu diasingkan dari kunci-kunci lain dan perlu berada dekat dengan tingkap atau pintu kecemasan,” katanya.

Berita berkaitan

Rentung akibat gagal buka pintu jeriji

Jeritan pilu dua beradik OKU

Dua beradik OKU meninggal dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 1:04 PM