Badlishah bersama Muhammad Iffat Syazwan (kanan) yang dilantik MPP UniMAP bagi mewakili golongan itu di universiti terbabit hari ini. Foto Ihsan UniMAP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) melantik penuntut orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Sidang 2019/2020 dalam usaha menaik taraf golongan itu di universiti awam (UA).

Perlantikan penuntut Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik, Muhammad Iffat Syazwan Abdul Halim itu sebagai jawatankuasa khas bagi mewakili golongan OKU di kampus sejurus Pilihan Raya Kampus berakhir semalam.

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, pelantikan itu dibuat bagi menyokong hasrat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam memperkasakan kemudahan dan sistem pendidikan khususnya bagi golongan OKU di kampus.

“Kerusi (jawatan) ini diwujudkan khas kepada mereka yang sudah tentu dapat mewakili suara mahasiswa istimewa UniMAP sekali gus merealisasikan sasaran universiti ini menjadi universiti mesra OKU.

“Dengan inisiatif ini juga, UniMAP percaya dapat membantu golongan mahasiswa ini menjalani kehidupan dengan lebih baik dan selesa,” katanya ketika Program Perjumpaan Naib Canselor bersama Mahasiswa OKU UniMAP di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah di Arau hari ini.

Beliau berkata, UniMAP kini menubuhkan Unit Pengurusan Mahasiswa OKU dan akan diselia oleh staf khas yang bakal menjalani latihan bagi tujuan pengurusan mahasiswa itu.

“Antara inisiatif lain yang digariskan UniMAP ialah dengan menyediakan ruang lengkap dengan kemudahan agar mereka dapat menjalankan sebarang aktiviti dengan mudah.

“Pengangkutan khas kepada mereka juga sedang diusahakan dan kita akan memanfaatkan sumbangan yang diperolehi bagi memenuhi keperluan mereka sepanjang pengajian di universiti,” katanya yang turut melancarkan penubuhan Kelab Mahasiswa OKU.

Terdahulu enam daripada sembilan pelajar OKU di UniMAP bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan mengadakan perbincangan tertutup dalam langkah ke hadapan memperkasakan golongan itu.

Antara yang disuarakan ialah pengecualian sekatan cetakan slip peperiksaan serta penambahan satu jam menduduki peperiksaan yang dapat dimasukkan ke Dasar Polisi Pelajar OKU UniMAP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 4:40 PM