AIR pancut berwajah baharu di Taman Tasik Titiwangsa.
BERNAMA

WARGA kota kini berpeluang merasai pengalaman beriadah dalam suasana seolah-olah berada di hutan rimba menerusi kemudahan baharu Kanopi Banjaran Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa di sini yang dibuka semula kepada umum hari ini.

Penolong Pengarah (Landskap) Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Mohd Anuar Ahmad berkata, kanopi sekitar 60 meter itu dilengkapi air terjun buatan bagi melengkapkan lagi elemen alam semula jadi dalam taman tasik di tengah-tengah ibu kota itu.

“Dengan mewujudkan suasana yang lebih hijau seperti ini kami harapkan orang ramai beriadah dengan lebih tenang, damai dan selesa walaupun berada di bandar yang sibuk,” katanya.

Mohd Anuar berkata, selain kanopi, antara kemudahan baharu yang dijangka mendapat perhatian ialah taman permainan air kanak-kanak dengan paras air 300 milimeter untuk aktiviti mandi-manda.

“Kami bina kolam mandi dengan paras atas buku lali saja bagi membolehkan kanak-kanak di bawah umur tiga tahun boleh menggunakannya di bawah pengawasan ibu bapa,” katanya.

Lebih membanggakan, taman tasik yang dirasmikan 1 Februari 1980 itu dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa High Fountain Jet dengan pancutan setinggi 100 meter, bersamaan setinggi bangunan 30 tingkat.

Menjelas lanjut, katanya kawasan itu juga kini dilengkapi maze garden menggunakan pokok kemuning yang dinamakan Laman Kerawang bagi menambah seri landskap taman tasik yang berusia 40 tahun.

Mohd Anuar berkata, antara penambahbaikan kemudahan sedia ada trek joging 4.5 kilometer (km) dan trek berbasikal (2.5 km) yang dibina secara berasingan untuk faktor keselamatan.

Beliau berkata, penambahbaikan taman itu direka bersifat inklusif termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Taman Tasik Titiwangsa ditutup 1 September tahun lalu bagi memberi laluan terhadap kerja penambahbaikan dan pengindahan kawasan itu membabitkan keluasan 20.23 hektar.

Sementara itu, orang ramai melahirkan keterujaan apabila mengetahui taman itu dibuka semula.

Suri rumah Sazila Ismail, 35, yang berkunjung bersama tiga anaknya berkata, dia dan keluarga tidak sabar menggunakan kemudahan baharu taman itu yang dilihat menerusi laman YouTube.

“Sebelum tutup dulu pun kami sekeluarga datang setiap minggu, bila dah tutup memang tak tahu nak pergi mana. Jadi bila anak tengok video taman permainan baharu lagilah mereka teruja nak datang,” katanya.

Pesara polis Yang An Leng, 74, pula berkongsi keterujaan dua cucunya yang mahu mencuba taman permainan air.

“Hari ini pun mereka ajak saya pergi untuk mandi-manda di situ tapi saya terangkan belum buka lagi dan perlu tunggu Ahad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:00 AM