Poliana Ronnie Sidom


PENJAWAT awam kerugian RM12,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan palsu dalam kejadian di Sandakan, kelmarin.

Wanita berusia 26 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa sebagai polis dari Bukit Aman.

Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, mangsa mendakwa suspek memberitahu mangsa terbabit dengan kegiatan dadah dan pengubahan wang haram dan dikehendaki membayar wang untuk menyelesaikan kes.

Beliau berkata, wanita terbabit yang terpedaya dengan penipuan itu kemudian mengikut arahan suspek untuk memasukkan wang ke dalam dua akaun berasingan.

“Selepas menyedari ditipu, mangsa tampil ke balai untuk membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Azhar berkata, kes terbaharu itu menunjukkan masih ada yang menjadi mangsa biarpun pihak berwajib menjalankan pelbagai kempen agar orang ramai tidak terpedaya dengan modus operandi Macau Scam.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhubung terus kepada balai polis berdekatan sekiranya menerima panggilan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 8:38 AM