Gambar hiasan
Mohamad Hussin


SERAMAI 59 kanak-kanak berusia dua bulan hingga 15 tahun bukan status warga negara yang tercicir imunisasi telah diberikan vaksin polio bagi mengelak dijangkiti virus polio yang berlaku di Tuaran, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil langkah pencegahan dan kawalan yang telah dilakukan dan sedang diteruskan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, aktiviti pengesanan kes ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis (iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal kes sedang diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko.

“Seramai 1,553 orang telah diperiksa dan tiada yang bergejala AFP dikesan serta pengambilan sampel najis daripada 20 kontak rapat bayi telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

“Enam sampel persekitaran dari kawasan terbabit dan kawasan berisiko telah diambil bagi pengesanan kehadiran virus polio dan sedang menunggu keputusan makmal.

“Pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan juga diteruskan di enam loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, tiada virus polio liar (wild) atau vaccine-derived poliovirus (VDPV) dikesan dalam sampel persekitaran.

“Aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

“Bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan, aktiviti imunisasi tambahan akan diberikan kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat.

“Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat mungkin manakala semua fasiliti kesihatan telah diarahkan untuk memastikan semua kes AFP dipantau dan dijalankan ujian pengesanan virus polio,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus berhubung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global termasuk kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah.

Pada 8 Disember lalu, KKM memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio di Sabah membabitkan seorang bayi lelaki warga negara Malaysia berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Bayi berkenaan masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 9:15 AM