REMAJA lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu seorang wanita di Kilometer 3 Ipoh - Lumut, Manjung, malam tadi. FOTO Ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3 Jalan Ipoh - Lumut di Manjung, malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.15 malam itu, penunggang motosikal Yamaha 135LC, Harith Iqhwan Yuseri, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di leher.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta dipandu wanita berusia 42 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Sitiawan menghala ke Ayer Tawar manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta lalu terlanggar bahagian hadapan kereta itu.

“Akibat kemalangan itu motosikal terbabit terbakar dan penunggang pula parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:59 AM