UBAT batuk, ketum dan ayam beku dalam kereta yang dirampas. FOTO Ihsan PGA 9.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA 9) merampas daun ketum, ubat batuk dan ayam beku dianggarkan hampir RM100,000 dalam tiga serbuan berhampiran sempadan Kelantan-Thailand.

Serbuan antara 1 hingga 7.30 pagi semalam itu turut menahan lelaki berusia 24 tahun di Pekan Rantau Panjang.

Pegawai Pemerintah PGA 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, tangkapan dan rampasan itu dilakukan Cawangan Risikan pasukannya.

Katanya, serbuan pertama pada 1 pagi, menahan lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kubang Gadong, Pasir Mas dan merampas 576 botol ubat batuk, 35 kilogram (kg) daun ketum dan sebuah kereta dengan nilai keseluruhan RM46,985.

“Dalam serbuan itu, anggota Cawangan Risik yang membuat rondaan terserempak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di pengkalan haram Gergaji, Rantau Panjang.

“Selepas ditahan dan diperiksa anggota menemui bungkusan lutsinar mengandungi daun ketum dan pemeriksaan di bahagian but belakang menemui ubat batuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihaknya merampas 120 kotak berisi 1,440 kg ayam beku berhampiran Kampung Tok Sangkut dekat Jeram Perdah, Pasir Mas pada 6.30 pagi semalam.

Katanya, sebelum itu anggotanya yang membuat rondaan terserempak dengan dua kereta dalam keadaan mencurigakan, dipercayai baru keluar dari satu pengkalan haram dan kenderaan itu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

“Pemandu sebuah kereta kemudian berhenti di tepi jalan dan melarikan diri ke dalam semak meninggalkan kenderaannya, manakala sebuah lagi kereta memecut ke arah Kampung Tok Sangkut dan menghilangkan diri.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan ditinggalkan mendapati ada 60 kotak ayam beku seberat 720 kg dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Sejam selepas itu anggota kita menemui sebuah lagi kereta yang ditinggalkan tanpa pemandu di bahu jalan dekat Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas,” katanya.

Nor Azizan berkata, pemeriksaan yang dilakukan menemui 60 kotak ayam beku disyaki diseludup dari Thailand.

“Kesemua kenderaan bersama muatan dalam dua kes itu dianggarkan bernilai RM46,000 dan diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 1:58 PM