KEADAAN bas dan lori yang terperangkap dalam banjir di Batu 18, Jalan Kota Tinggi-Mersing.
Ibrahim Isa dan Mary Victoria Dass dan Adnan Ibrahim

JOHOR BAHRU: Mereka dianggap wira apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menyelamatkan sekumpulan penumpang sebuah bas persiaran yang terperangkap akibat banjir.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi semalam, bas persiaran dinaiki semua mangsa dikatakan hilang imbangan dan rosak akibat melalui kawasan ditenggelami banjir di Batu 18, Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Jurucakap APM yang dihubungi berkata, kejadian disedari lima anggota APM yang dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi selepas menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di Mersing.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, beberapa orang awam menahan kenderaan dinaiki anggota APM dan meminta bantuan.

“Mereka memaklumkan terdapat bas persiaran terkandas akibat banjir di kawasan itu. Malah di dalam bas itu masih terdapat penumpang dan pemandu.

“Susulan itu, anggota APM segera memberi bantuan kecemasan bagi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap di dalam bas sebelum dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

Menurutnya, terdapat sekitar 40 penumpang bas yang berjaya dibawa keluar sebelum mereka menaiki bas gantian yang tiba tidak lama kemudian.

“Kedalaman banjir menyebabkan bas persiaran itu hampir tenggelam sepenuhnya dan gagal dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:30 AM