Shamsul Munir Safini


ENGGAN diberkas polis kerana memiliki motosikal curi, seorang lelaki cuba membunuh diri dengan menggelar lehernya di Bagan Jermal, Butterworth.

Kejadian berlaku pada 5 petang, Sabtu lalu ketika lelaki terbabit yang berusia 32 tahun ditahan ketika menunggang motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika itu suspek melarikan diri dan bersembunyi di rumahnya di Flat Thamby Kecil.

Katanya, anggota kemudian mengejarnya dan memecahkan pintu jeriji besi rumah itu.

“Suspek ketika itu sedang memegang pisau lipat dan menggelar lehernya di situ. Dia ditahan dan kemudian dihantar untuk rawatan.

“Suspek menerima 30 jahitan di leher dan dilapor dalam keadaan stabil di Hospital Seberang Jaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

NOORZAINY (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas dalam serbuan sebelum ini pada sidang media, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
NOORZAINY (tengah) menunjukkan senapang angin yang dirampas dalam serbuan sebelum ini pada sidang media, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.

Noorzainy berkata, semakan pihaknya mendapati motosikal ditunggang suspek pernah dilapor hilang pada tahun ini dan suspek juga mempunyai 20 kes jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

Katanya, suspek mengaku terbabit dalam 10 kes ragut di daerah ini dan memiliki rekod rawatan sakit jiwa di Pusat Rawatan Sakit Jiwa, Jalan Perak.

“Suspek kini dihantar semula ke pusat berkenaan untuk rawatan susulan dan selepas dua minggu, dia akan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya.

Dalam pada itu, polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri daripada lelaki berusia 44 tahun di sebuah rumah di Kampung Setol pada 7 malam Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihaknya melakukan risikan sebelum menyerbu rumah itu dan menemui senjata buatan sendiri bersama 82 butir peluru diperbuat daripada guli.

Katanya, suspek mengaku bahawa senjata buatan sendiri itu adalah miliknya dan digunakan untuk menembak binatang yang menceroboh kebun ketum miliknya.

“Untuk itu, suspek direman sehingga 18 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 2:45 PM
Digital NSTP Subscribe