Siti A’isyah Sukaimi


PEMBINAAN 10,000 unit rumah mampu milik adalah antara terma yang ditambah baik dalam perjanjian baharu pembangunan Bandar Malaysia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, menerusi perjanjian yang ditandatangani sebelum ini pada 31 Disember 2015, jumlah rumah mampu milik hanyalah 5,000 unit.

“Dalam perjanjian baharu itu, beberapa terma turut ditambah baik berbanding perjanjian ditandatangani pada 31 Disember 2015, termasuk syarat pembayaran dipendekkan dan dipercepatkan dari tujuh tahun sebelum ini kepada tiga tahun untuk memberi faedah kepada kerajaan Malaysia.

“Selain itu, sebagai tambahan kepada deposit asal sebanyak RM741 juta, konsortium IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) akan membayar tambahan sebanyak RM500 juta sebagai bayaran pendahuluan.

“Turut akan diwujudkan adalah Taman Rakyat seluas 85 ekar (34 hektar), yang menjadi gabungan dari satu taman yang dibina bersebelahan serta beberapa taman satelit lain,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bandar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

LIM (tiga kiri) mengiringi Tun Dr Mahathir mendengar penerangan mengenai Bandar Malaysia. FOTO Luqman Hakim Zubir.
LIM (tiga kiri) mengiringi Tun Dr Mahathir mendengar penerangan mengenai Bandar Malaysia. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Majlis itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Lim berkata, Bandar Malaysia akan membawa nilai ekonomi yang substantif kepada negara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dijangkakan bernilai kira-kira RM140 bilion.

Katanya, ia juga akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang pembinaan, keusahawanan dan teknologi.

“Apabila siap kelak, ia dijangka akan menarik banyak syarikat multinasional dan syarikat Fortune 500 untuk menempatkan operasi mereka di sini yang mana Alibaba dan Huawei sudah menunjukkan minat untuk membuka hab mereka di Bandar Malaysia.

“Ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menarik syarikat multinasional ke Malaysia untuk melabur dalam sektor berteknologi dan bernilai tinggi sekaligus meningkatkan produktiviti serta daya saing Malaysia dalam persekitaran global yang mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 7:18 PM