Susur keluar lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya tiada papan tanda berhenti. Foto Yusmizal Dolah Aling
Susur keluar lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya tiada papan tanda berhenti. Foto Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling

BEBERAPA lokasi di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari ibu negara ke Shah Alam berisiko menjadi punca berlakunya kemalangan kerana infrastruktur rosak serta susur keluar ke jalan utama yang tidak sesuai.

Laluan sejauh hampir 50 kilometer itu menjadi penghubung utama di Lembah Klang dengan ribuan penunggang motosikal menggunakannya setiap hari menjadikan mereka berisiko berdepan kemalangan terutama ketika musim hujan.

Tinjauan bersama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) mendapati beberapa infrastruktur seperti besi penutup longkang yang ‘hilang’ serta wayar elektrik yang hampir mencecah kepala penunggang merintangi jalan boleh menjadi penyebab berlakunya kemalangan maut.

Di Petaling Jaya, ketiadaan penutup longkang di sebelah kiri jalan mengundang bahaya kepada penunggang motosikal kerana laluan yang lurus serta sempit terutama ketika memotong ‘berpotensi’ mengakibatkan kemalangan.

Lokasi berkenaan juga dipercayai pernah berlaku kemalangan kerana terdapat serpihan bahagian komponen motosikal bersama selipar berada dalam longkang berhampiran.

Pengerusi PPJK Mohammad Hisham Shafie berkata, besi ceracak penghadang longkang di situ juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna laluan berkenaan kerana ia terdedah tanpa sebarang tanda amaran oleh pihak berwajib.

“Sepatutnya penghadang konkrit digunakan untuk menutup longkang ini tetapi kontraktor menggunakan besi. Saya tidak pasti kenapa, tetapi ia didapati amat bahaya kerana terdapat bahagian sudah reput dan menunggu masa untuk roboh.

Mohammad Hisham menunjukkan besi penutup longkang yang rosak dan (gambar kanan) dan tiada penutup longkang (gambar kiri) dikesan di Petaling Jaya. Foto Yusmizal Dolah Aling
Mohammad Hisham menunjukkan besi penutup longkang yang rosak dan (gambar kanan) dan tiada penutup longkang (gambar kiri) dikesan di Petaling Jaya. Foto Yusmizal Dolah Aling

“Selain itu, beberapa susur keluar dari lebuh raya ini didapati bahaya kerana ia tidak mempunyai tanda berhenti.

“Sepanjang di sini selama 10 minit, beberapa penunggang dilihat keluar terus dari laluan itu tanpa berhenti atau menoleh terlebih dulu dan ia mengundang bahaya kerana kenderaan dari jalan utama bergerak laju,” katanya.

Mohammad Hisham berkata, PPJK juga menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung keadaan lebuh raya itu yang boleh menyebabkan kemalangan terutama ketika hujan.

Menurutnya, pihaknya akan merujuk isu berkenaan kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi isu keselamatan di lorong motosikal lebuh raya itu.

“Saya difahamkan, hampir 1,000 penunggang motosikal dari laluan Klang ke ibu negara dan sebaliknya menggunakan lorong ini.

“Setiap hari ada saja risiko kemalangan dilaporkan sama ada berpunca dari infrastruktur tidak selamat atau sikap penunggang. Jadi kita mesti bertindak segera demi keselamatan semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 10:07 PM