IKLAN berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
IKLAN berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca


IKLAN aplikasi temu janji dikatakan berunsur lucah yang terpampang di sekitar Bangsar dan Bukit Kiara tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Sehubungan itu, DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada YWP serta operator iklan iaitu Out of Home supaya segera menarik balik paparan iklan terbabit.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan DBKL mendapati pelesen struktur iklan adalah milik YWP yang melantik Tetuan Out Of Home sebagai operator.

“Kandungan iklan yang dipaparkan pada struktur iklan LED itu tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP.

“Pihak operator LED sudah dimaklumkan berkenaan kandungan iklan yang sensitif dengan norma masyarakat Malaysia dan perlu serta-merta mengeluarkan iklan terbabit dari paparan LED berkenaan.

“DBKL sudah mengeluarkan arahan kepada YWP dan Out of Home untuk menarik balik segera paparan iklan tersebut di kedua-dua lokasi itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai paparan iklan di beberapa lokasi itu yang berunsurkan mempromosikan tawaran ‘sugar daddy’ kepada wanita muda dan cantik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 1:03 PM