KERAJAAN digesa untuk mengharamkan semua aplikasi yang memberi impak negatif termasuk berunsurkan pelacuran di negara ini seperti mana tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, aplikasi ini sememangnya memberi impak buruk kepada permasalahan sosial khususnya golongan remaja yang cenderung dengan pengaruh gaya hidup mewah.

Menurutnya, sekiranya aplikasi seperti ini tidak dipantau atau ditapis oleh kerajaan ia mampu merosakkan moral serta akhlak generasi muda.

“Aplikasi seperti ini mensasarkan golongan wanita yang mempunyai rupa untuk menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki yang berpendapatan tinggi.

“Ia sangat berbeza dengan aplikasi sosial yang lain berikutan membabitkan tawaran wang ringgit selain menyelitkan elemen seksual,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siraj berkata, ‘sugar baby’ dan ‘sugar daddy’ bukanlah satu budaya yang ada di Malaysia.

Beliau menyeru agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membincangkan kewujudan aplikasi seperti ini.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Di Malaysia ketika ini tiada badan yang mengawal kewujudan aplikasi seperti itu.

“Sudah tiba kita menjadikan China, Singapura dan beberapa negara lain sebagai contoh yang menyekat aplikasi negatif ini ke negara mereka.

“Kita tidak mahu kewujudan aplikasi ini kemudiannya menjadi pusat pelayan pelanggan (GRO) di negara ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial iklan aplikasi temu janji dikatakan berunsur lucah yang terpampang di sekitar Bangsar dan Bukit Kiara sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan orang awam yang berani menyuarakan perkara terbabit sehingga berjaya membuatkan pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan iklan yang tidak bermaruah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 4:01 PM