PULAU Pangkor. FOTO Effendy Rashid
PULAU Pangkor. FOTO Effendy Rashid
Balqis Jazimah Zahari


LARANGAN penjualan arak di Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor masih kekal sehingga kini dan tidak ada sebarang perubahan mengenainya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, sama ada penjualan barangan berkenaan akan dibenarkan, memerlukan kajian terlebih dahulu.

“Arak belum lagi dimuktamadkan dan setakat ini masih tidak dibenarkan (untuk jadi barangan bebas cukai).

“Tetapi kerajaan akan sentiasa mengkaji semula dasar terbabit jika ada permintaan yang munasabah atau pun ada dasar yang membolehkan ia dibenarkan untuk menjaga pemain industri dan penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas hadir bersama EXCO Selangor pada Program Promosi Destinasi Pelancong Tempatan Tourism Selangor di Hotel Kinta Riverfront di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat pemain industri yang mendakwa kedua-dua minuman keras dan juga rokok tersenarai dalam barangan bebas cukai di pulau berkenaan.

Kar Hing berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula kemungkinan akan ada tempat tertentu yang membolehkan penjualan produk minuman keras dan rokok.

Katanya, setakat ini hanya minuman keras sahaja yang tidak disenaraikan dalam barangan bebas cukai menjelang perisytiharan Pangkor sebagai PBC pada 1 Januari depan.

“Jika tiada permintaan kita tidak akan membenarkan menjual arak sebagai barangan bebas cukai.

“Tetapi, kita juga tidak akan menolak kemungkinan pada masa akan datang kita akan membabitkan sekali (minuman keras) itu sebagai satu daripada barangan bebas cukai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, setakat ini segala prasarana dan infrastruktur di Pulau Pangkor sudah bersedia untuk dijadikan sebagai PBC.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai jawatankuasa induk untuk memantau semua persediaan bagi memastikan 1 Januari nanti semua kemudahan termasuk jeti dan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) boleh digunapakai.

“Setakat ini kerajaan negeri melalui beberapa agensi, menerima peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf semua kemudahan asas, termasuk jalan, papan tanda, jeti, landskap, pencahayaan kelengkapan dan sebagainya.

“Saya yakin persiapan itu akan berjaya disediakan tepat pada masanya dan kita boleh menepati sasaran masa PBC 1 Januari,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan minuman keras tidak akan dibenarkan dijual di dalam kawasan yang bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) di Pulau Pangkor di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak membenarkan arak dijual di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 6:08 PM