MOHD Hezle (kiri) yang maut manakala anak lelakinya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.
MOHD Hezle (kiri) yang maut manakala anak lelakinya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.
Muhaamad Hafis Nawawi


PENERBIT televisyen sambilan maut manakala anak lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Jalan Klang Lama, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, Mohd Hezle Mohd Helan, 44, yang memandu Honda City maut di lokasi kejadian manakala anaknya, Mohamad Hezwan berusia 9 tahun patah peha kanan.

Abang Allahyarham, Mohd Helme, berkata, kereta dinaiki dua anak beranak itu turut hampir terbakar selepas difahamkan kereta dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh arwah.

Menurutnya, difahamkan, pemandu terbabit dipercayai dalam keadaan mabuk ketika memandu sehingga menyebabkan adiknya maut di lokasi kejadian.

“Adik saya baru sahaja pulang dari Filipina selepas terbabit dalam membuat liputan kejohanan Sukan SEA 2019 di Manila.

“Anak arwah pula masih dirawat dalam wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di mana doktor akan membuat pembedahan bagi kecederaan patah peha kanannya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger berusia 36 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh mangsa menyebabkan ia berpusing dan hampir terbakar.

“Bagaimanapun orang awam sempat memadam kereta yang terbakar dan membawa mangsa keluar sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala anaknya dihantar ke PPUM.

“Mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 7:29 PM