ANGGOTA polis menutup mayat mangsa. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menutup mayat mangsa. FOTO ihsan polis
Siti A’isyah Sukaimi


WANITA warga emas maut dipercayai terjatuh dari tingkat 13 rumahnya di kuarters kerajaan Presint 11, Putrajaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, mangsa yang berusia 68 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap oleh pengawal keselamatan semasa membuat rondaan 5.45 pagi tadi.

Menurutnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.40 pagi dan pegawai bersama pasukan bahagian siasatan jenayah ke lokasi serta menemubual anak lelaki mangsa berusia 41 tahun.

“Lelaki itu memberitahu kali terakhir dia berbual dengan ibunya jam 8.30 malam tadi dan mangsa dikatakan dalam keadaan baik, tiada menghidap sebarang penyakit mental serta tidak mempunyai hutang atau masalah dengan mana-mana orang.

“Hubungan mangsa dan anaknya sangat rapat memandangkan lelaki terbabit anak tunggalnya serta bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah kementerian. Wanita itu tinggal berdua dengan anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosly berkata, anak mangsa tidak menyedari ibunya tiada di rumah apabila jiran mengetuk pintu untuk membuat semakan.

“Selepas memastikan ibunya tiada di rumah, anak mangsa pergi ke tingkat bawah dan membuat pengecaman,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, temu bual polis dengan jiran menyatakan ada terdengar bunyi benda jatuh yang kuat sekitar jam 3 atau 4 pagi tadi.

Katanya, jiran di kawasan berkenaan tidak mendengar sebarang bunyi pertengkaran sebelum kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Rosly berkata, pasukan forensik tiba di lokasi dan mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.

“Mangsa patah bahu kiri dan kanan, lebam pada lengan kanan, luka di muka dan kepala.

“Mayat dihantar ke Hospital Putrajaya. Punca sebenar kejadian belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 12:49 PM