ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta Perodua Alza yang meragut nyawa seorang lelaki OKU. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta Perodua Alza yang meragut nyawa seorang lelaki OKU. FOTO Ihsan Bomba
Nor Farhani Che Ad


SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Kawasan Perindustrian Bukit Makmur, di Sungai Petani, petang hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.12 petang.

Beliau berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dikerah ke lokasi dan tiba 12 minit kemudian.

“Ketika di lokasi, kami mendapati sebuah kereta Perodua Alza terbakar dengan kemusnahan 90 peratus.

“Kami dimaklumkan, seorang lelaki OKU berusia 38 tahun rentung di dalam kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:12 PM