Gambar hiasan.
Siti A’isyah Sukaimi


PELANCONG China dan India perlu mendaftar maklumat melalui sistem Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) walaupun kerajaan sudah memberi pengecualian visa kepada mereka.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan menyebut, pendaftaran itu sebagai satu daripada langkah kawalan kerajaan menerusi Jabatan Imigresen (JIM) yang bertanggungjawab memantau dan membuat pengesahan terhadap pelancong tanpa visa.

Katanya, kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk negara yang mana Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan, jika pelancong tersenarai di dalam senarai hitam atau senarai syak JIM atau tergolong dalam kategori imigran larangan.

“Selain itu, pelancong juga dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRI hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh pelancong terbabit keluar dari Malaysia

“Tempoh 45 hari itu dikenali sebagai ‘cooling of period’ yang merupakan salah satu elemen kawalan bagi mengelakkan penyalahgunaan kemudahan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai warta kerajaan bertarikh 23 Disember 2019 berhubung pengecualian visa kepada pelancong China berkuat kuasa 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020.

Mengulas itu, KDN berkata, warta berkenaan dikeluarkan mengikut Akta Pasport 1966 untuk membolehkan pelaksanaan eNTRI, iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat China untuk memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau lawatan sosial selama 15 hari.

Katanya, pewartaan itu adalah prosedur biasa dibuat setiap tahun sejak inisiatif diperkenalkan pada 2016, dengan objektifnya mahu mengukuhkan industri pelancongan.

“Inisiatif ini diumumkan kerajaan semasa pembentangan pengubahsuaian bajet pada 28 Januari 2016 yang mana pelancong China dikecualikan daripada keperluan visa mulai 1 Mac 2016 hingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

“Ia kemudian diperluas kepada pelancong India pada 1 April 2017 dengan lanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan,” katanya.

Selain itu, kemasukan tanpa visa melalui eNTRI adalah satu penambahbaikan ke atas mekanisme visa ketibaan (VOA) yang mana elemen keselamatan menjadi sebahagian daripada proses eNTRI dan dikawal sepenuhnya oleh JIM.

Mengenai kaitan kemudahan pengecualian visa itu dengan isu pelancong China tinggal melebihi masa, KDN menegaskan, JIM sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelancong melebihi tempoh dibenarkan.

“Tindakan tegas diambil terhadap warga asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal.

“KDN dan Jabatan Imigresen sentiasa memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 4:07 PM