X
HUSAIN (tengah) bergambar bersama murid dan guru sempena program TKHM 2019 Kembali ke Sekolah. FOTO Ghazali Kori
HUSAIN (tengah) bergambar bersama murid dan guru sempena program TKHM 2019 Kembali ke Sekolah. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


GURU besar dan guru pengiring yang terbabit dalam program Titipan Kasih Harian Metro-MILO (TKHM) 2019 Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang, Marang, menyifatkan matlamat Harian Metro membantu golongan kurang berkemampuan tercapai.

Selain memberi reaksi positif dengan usaha dijalankan, mereka berharap program sama diteruskan pada masa akan datang dalam usaha meringankan beban ibu bapa.

Guru Besar SK Ru Rendang, Mohd Hatta Che Man berkata, program TKHM bukan hanya dapat menggembirakan murid apabila berpeluang membeli barang keperluan tetapi turut membuatkan ibu bapa teruja.

“Program sebegini dapat meringankan beban ibu bapa dan saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang bukan hanya ketika sesi persekolahan tetapi sebelum hari raya, terima kasih Harian Metro kerana mengambil inisiatif murni ini,” katanya ketika ditemui pada program TKHM di SK Undang, hari ini.

Pada program itu, seramai 150 murid terdiri daripada golongan miskin dan asnaf dari SK Undang, SK Gong Balai, SK Merchang, SK Paya Resak, SK Bukit Payong dan SK Ru Rendang menerima sumbangan pek kembali ke sekolah terdiri pakaian seragam, kasut, alat tulis dan beg selain produk MILO untuk bekalan menghadapi hari persekolahan yang bermula Rabu ini.

Turut hadir Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro merangkap pengerusi program TKHM 2019, Husain Jahit; Pengarang Berita Komersial Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz dan Pegawai Penajaan dan Persampelan MILO Zon Timur, Awang Abdullah.

Bagi Guru Besar SK Merchang, Tuan Mustafa Tuan Lah, beliau mewakili pihak sekolah berterima kasih kepada Harian Metro dan MILO serta penaja lain yang sanggup turun padang membantu mereka yang memerlukan.

“Besar harapan kami supaya program ini dapat diteruskan kerana ia mampu meningkatkan semangat belajar dalam kalangan murid kerana mendapat pakaian sekolah dan kelengkapan baharu,” katanya.

Guru pengiring dari SK Ru Rendang, Nazipah Yusof berkata, dia terharu melihat kegembiraan murid apabila berpeluang memilih sendiri barangan yang diperlukan.

“Saya terharu dengan program ini apatah lagi melihat murid-murid begitu gembira kerana mereka mendapat pakaian dan peralatan sekolah, jadi terima kasih kepada Harian Metro.

“Program seumpama ini perlu diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai lagi murid yang kurang berkemampuan mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azhan Ab Hamid berkata, program itu memberi impak yang besar kepada murid-murid dalam membangunkan sahsiah mereka supaya menjadi murid yang cemerlang.

“Selain itu, ia dapat meringankan beban ibu bapa dalam keadaan ekonomi sekarang. Terima kasih Harian Metro dan MILO serta mereka yang menjayakan program murni ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:41 PM