Plaza Tol Gombak bakal menggunakan kutipan tol RFID bermula esok. Foto Arkib NSTP
Plaza Tol Gombak bakal menggunakan kutipan tol RFID bermula esok. Foto Arkib NSTP
Faliq Lajim

LEBUHRAYA Kuala Lumpur-Karak (KLK) sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi frekuensi radio (RFID) di Plaza Tol Gombak dan Bentong mulai esok.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, penggunaan RFID itu dilihat membantu melancarkan lagi aliran trafik di dua plaza berkenaan yang menggunakan kaedah sistem tol terbuka.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan kira-kira 10,000 transaksi RFID sehari bakal direkodkan di kedua plaza tol berkenaan pada tahun pertama pelancarannya.

“Ia berbanding 5,000 transaksi RFID sehari dicapai dalam tempoh percubaan bagi pelaksanaan projek perintis sistem berkenaan.

“Persediaan rapi dibuat sejak awal lagi untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong bersedia dengan sistem kutipan baharu itu.

“Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod ini selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya yang juga aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, kedua plaza terbabit menyediakan satu lorong RFID untuk setiap arah perjalanan (barat dan timur).

“Kami turut memastikan kesemua kakitangan bersedia berdepan dengan segala kemungkinan bagi membantu pengguna membuat bayaran dengan penggunaan teknologi RFID ini.

“Pelaksanaan RFID ini tepat pada masanya kerana ia membantu mempercepatkan lagi proses bayaran tol seterusnya mengurangkan kesesakan di plaza terbabit khususnya pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Nik Fauzi berkata, bagi sebagai permulaan, mod pembayaran terbaru itu akan ditawarkan hanya kepada kenderaan kelas satu sebelum ia dijangka diperluaskan kepada kenderaan kategori lain sebelum akhir 2020.

“Kutipan tol menerusi RFID di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) iaitu sebuah lagi lebuh raya kendalian ANIH Berhad yang menggunakan kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 3:34 PM