ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


TIGA lelaki dipercayai tokan dadah dicekup dalam keadaan khayal di sebuah rumah di Kampung Rasau, Mukim Padang Kerbau, Kubur Panjang, Pendang, hari ini.

Kesemua yang berusia 21 hingga 52 tahun itu ditahan 12.05 tengah malam ketika sambutan Tahun Baharu 2020.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit berada di ruang tamu ketika serbuan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kubur Panjang ke rumah dua tingkat tidak bernombor itu.

“Pemeriksaan pada badan suspek pertama menemui lima keratan straw berisi ketulan putih disyaki heroin dianggarkan seberat 4.47 gram.

“Turut ditemui satu beg kecil berzip warna hijau berisi ketulan disyaki heroin dianggarkan seberat 22.36 gram,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, pemeriksaan pada suspek kedua pula menemui satu keratan straw berisi ketulan disyaki seberat 0.31 gram.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek ketiga turut menemui satu keratan straw berisi ketulan disyaki heroin seberat 0.43 gram.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin.

“Sejumlah 27.57 gram dadah dianggarkan bernilai RM830 dirampas dalam serbuan itu.

“Berdasarkan siasatan, kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan seorang daripadanya terbabit dalam kes jenayah curi motosikal,” katanya.

Arriz Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai tokan kecil-kecilan yang mengedar dadah di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:26 PM