X
DUA suspek suku Pala'u ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Semporna. FOTO IHSAN PPM
DUA suspek suku Pala'u ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Semporna. FOTO IHSAN PPM
Abdul Rahemang Taiming


KEGIATAN dua lelaki suku Pala’u yang menangkap ikan menggunakan bahan letupan membawa padah apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Semporna di sini, malam tadi.

Dua suspek masing-masing berumur 20 dan 40 tahun itu yang menggunakan perahu jenis pam bot ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti mengebom ikan di kawasan perairan berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku tinggal di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum-Bum dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan dalam perahu dinaiki suspek menemukan pelbagai jenis ikan seberat lebih 20 kilogram yang disyaki ditangkap menggunakan kaedah letupan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan bersama rampasan termasuk sebuah pam bot dan enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM8,000 dibawa ke Pangkalan Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan1985 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 selain penjara maksimum dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 2:02 PM