RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek memecahkan tabung masjid. FOTO Ihsan Polis
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek memecahkan tabung masjid. FOTO Ihsan Polis
Siti A’isyah Sukaimi


PERBUATAN seorang lelaki memecah tabung Surau Pudina Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Presint 17 di Putrajaya, berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kejadian berkenaan yang dirakam CCTV itu dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi hari ini dan pihaknya menerima laporan pada 9.48 pagi tadi daripada Ahli Jawatankuasa Keselamatan Surau Pudina.

“Kira-kira 6 pagi tadi, pengadu mendapat tahu daripada bilal yang bertugas berkaitan dua tabung Surau Pudina PPAM Presint 17 dipecah.

“Pengadu membuat pemeriksaan ke atas tabung dan didapati memang terdapat kesan rosak pada tempat pemegang kuncinya,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, hasil lawatan pihaknya di lokasi mendapati terdapat CCTV merakam kejadian itu menunjukkan kelibat seorang lelaki sedang memecahkan tabung surau berkenaan.

Katanya, kedua-dua tabung yang dipecahkan terletak di luar surau tanpa penjagaan, manakala pengawal keselamatan hanya diletakkan di setiap blok, namun tidak statik mengawal di surau.

“Sebanyak lima cap cari ditimbulkan untuk dibuat perbandingan dan anggaran kerugian adalah RM80.

“Rakaman CCTV akan dihantar ke forensik untuk dianalisis. Kes kerugian kecil sahaja, tetapi mohon bantuan dan maklumat orang ramai jika mengenali suspek,” katanya.

Sementara itu, Rosly berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 5:18 PM