Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


IDENTITI tiga mangsa maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan termasuk treler di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Kuala Kangsar, sudah dikenal pasti.

Ketiga-tiga mangsa adalah pemandu lelaki dan dua penumpang wanita Honda BRV iaitu K Mahinderan, 56; P Aruna, 56, dan S Thavamalar, 52.

Tiga lagi penumpang kereta berkenaan iaitu S Jayakrisna, 51; V Rukumany,53, dan K Amutha, 57, masing-masing parah.

Selain treler membawa muatan besi dan Honda BRV, kemalangan jam 10.20 malam itu turut membabitkan Perodua Axia, Toyota Innova, Proton Waja dan Honda Jazz serta dua motosikal iaitu Yamaha Y15 dan 125ZR.

Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan 10 mangsa dari beberapa kenderaan itu cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan dari arah utara ke selatan mengalami masalah tayar sebelah kanan pecah.

KENDERAAN terbabit kemalangan itu. FOTO Juwan Riduan

Katanya, ia sekali gus mengakibatkan treler berkenaan hilang kawalan dan menghimpit pembahagi jalan di laluan kanan sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari situ.

“Honda BRV yang datang dari arah belakang sebelah kanan gagal mengelak dan merempuh treler berkenaan sebelum berpusing masuk ke lorong kiri.

“Kemudian datang kenderaan lain dan melanggar Honda BRV berkenaan serta sesama sendiri dan kemalangan itu mengakibatkan pemandu serta dua penumpang Honda BRV meninggal dunia,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Razali berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Menurutnya, susulan itu, polis menahan pemandu treler iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

  • 3 maut, 9 cedera
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 8:41 AM