MUHAMMAD Rafiuddin dan Muhammad Ridhauddin (tengah) bergambar bersama ibu bapa. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


PASANGAN kembar mencuri tumpuan ramai sempena pendaftaran pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, hari ini.

Muhammad Rafiuddin Muhammad Sufinor dan Muhammad Ridhauddin Muhammad Sufinor berusia 13 tahun berasal dari Batu 12, Hulu Langat antara 180 pelajar mendaftar di sekolah berasrama penuh itu.

Ridhauddin berkata, dia dan abangnya bersyukur kerana mereka ditempatkan di sekolah sama dan berazam untuk berdikari.

Katanya, ibu bapanya, Muhammad Sufinor Muhammad Yamin, 42 dan Nor Aisyah Mohd Sani, 41 sanggup berkorban apa sahaja demi melihat mereka berdua belajar di MRSM, seterusnya cemerlang dalam akademik.

“Kami mendapat keputusan 5A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu dan berjaya mendapat tempat di sini (MRSM Sungai Besar).

“Kami mahu menggembirakan ibu ayah yang selama ini tidak jemu mencari rezeki demi pendidikan kami adik-beradik dengan masuk ke MRSM,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun turut meluangkan masa melihat proses pendaftaran pelajar baharu di sekolah itu.

Bagi Rafiuddin pula, berjauhan dengan keluarga adalah cabaran buat dirinya dan Ridhauddin.

“Bila duduk di asrama, semua perkara perlu dilakukan sendiri dan kami anggap ia satu proses pembelajaran untuk mendidik diri.

“Malah, peluang yang diberi tidak akan disia-siakan kerana bukan semua orang di luar sana berpeluang memasuki tempat istimewa ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Rafiuddin bercita-cita menjadi guru manakala Ridhauddin bercita-cita menjadi akauntan.

Sementara itu, Rina berkata, pengambilan pelajar Tingkatan Satu MRSM bagi sesi 2020 membabitkan 7,628 pelajar, dan dari jumlah itu, 180 pelajar mendaftar di MRSM Sungai Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:30 PM