MOHD YUSOF AHMAD
MOHD YUSOF AHMAD
Mohd Amin Jalil

AKTIVITI penjualan air zam-zam secara berleluasa di pasaran tempatan dibimbangi boleh dieksploitasi pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata, air zam zam diambil dari Mekah Arab Saudi secara percuma untuk diminum kerana air itu adalah yang terbaik berbanding air biasa.

Katanya, adalah tidak sesuai air zam zam diambil dan dibawa ke negara ini semata-mata untuk diniagakan bagi mendapatkan keuntungan.

“Air zam-zam diambil dari Masjidil Haram di Mekah secara percuma dan dibawa balik (ke Malaysia) untuk diminum kerana ia adalah air yang terbaik. Kenapa pula air itu hendak diniagakan?

“Tidak sesuai sama sekali air zam zam yang diambil untuk diniagakan kerana apabila aktiviti itu dijalankan, sudah tentu kemungkinan ada kalangan pihak tertentu yang cuba mengeksploitasinya untuk mendapatkan keuntungan.

“Kemungkinan ada pihak-pihak yang berkenaan menggunakan air paip yang dibotolkan tetapi mendakwa ia adalah air zam zam, bertujuan bagi mengaburi pengguna,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Kementerian Kesihatan yang menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli air dilabel sebagai air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.

Kelmarin, Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya menegaskan bahawa air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, tindakan kementerian terbabit menghalang orang ramai membeli air itu adalah tepat kerana air zam zam tidak sesuai diniagakan.

Beliau berkata, tindakan proaktif kementerian terbabit akan dapat memastikan orang ramai tidak terperangkap dengan kerakusan pihak tertentu atau peniaga yang ingin mendapatkan keuntungan mudah.

“Pihak kementerian sudah tentu tidak mampu untuk memantau atau melihat air yang dijual di pasaran sebagai air zam zam, justeru melalui larangan itu akan dapat memastikan keaslian air zam zam terpelihara,” katanya.

Beliau berharap orang ramai berhati-hati terhadap aktiviti penjualan air zam zam dipasaran kerana dikhuatiri berlaku kegiatan pemalsuan.

“Tambahan pula, kerajaan Arab Saudi sudah lama dikuatkuasakan larangan menjual air zam zam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:17 PM