ZUHAIR (tengah) melihat dokumen yang dirampas dari sebahagian 145 pekerja asing yang dicekup JIM. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ZUHAIR (tengah) melihat dokumen yang dirampas dari sebahagian 145 pekerja asing yang dicekup JIM. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


BAGI meloloskan diri, beberapa beberapa warga asing cuba menyogok RM20,000 kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah ketika Ops Mahir di sebuah tapak kilang di Kulim Hi Tech di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, perbuatan itu dilakukan lelaki warga China dengan harapan mereka dapat dilepaskan ketika operasi jam 4.10 petang itu.

Menurutnya, 185 warga asing diperiksa dalam serbuan itu dan 145 daripada mereka membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam dan Bangladesh ditahan.

“Ia membabitkan 70 lelaki warga Bangladesh, 56 lelaki dan seorang wanita warga China, 15 lelaki dan seorang wanita warga Vietnam dan dua lelaki warga Pakistan berusia antara 21 sehingga 58 tahun.

“Semua mereka dikesan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain menyalah gunakan pas bekerja dengan bekerja di lokasi lain,” katanya pada sidang media di pejabat JIM Kedah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Beliau berkata, ia adalah tangkapan terbesar membabitkan pekerja asing yang melakukan pelbagai kesalahan pada awal tahun ini.

“Pemeriksaan juga mendapati masih ada syarikat yang tidak mengemukakan permohonan pemindahan sementara pekerja asing ke lokasi baru berdasarkan kontrak perjanjian secara teratur dan bilangan pekerja asing yang terbabit,” katanya.

Zuhair berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta melanggar syarat pas yang diberikan mengikut bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk tindakan lanjut,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:47 PM
Digital NSTP Subscribe