BUNGKUSAN mengandungi daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan PGA
Zuliaty Zulkiffli


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor, Perak merampas 1,186 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM200,900 di kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis di Bukit Kayu Hitam, Jumaat hingga semalam.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan.

Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Rosman Kasman berkata, operasi turut dibantu anggota Batalion 18, Skuadron Perisai 1 dan Skuadron Perisai 3 (PGA) yang mengambil alih tugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand sejak 1 Januari lalu.

Beliau berkata, rampasan pertama pada 8.45 malam Jumaat lalu membabitkan 11 bungkusan guni berisi ketum seberat 330 kg bernilai RM49,500.

“Tiga motosikal Thailand dan sebuah motosikal tempatan turut dirampas,” katanya.

Rosman berkata, rampasan kedua membabitkan 15 guni ketum seberat 456 kg bernilai RM91,400.

“Daun itu dibawa menggunakan kereta di kawasan Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB) Padang Besar, 2.30 pagi Sabtu.

“Kereta itu dipercayai ditinggalkan sebelum daun itu cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.

Rosman berkata, rampasan ketiga membabitkan rampasan 16 guni ketum seberat 400 kg bernilai RM60,000 di kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis semalam.

“Semua ketum yang dirampas diserahkan kepada balai polis berhampiran lokasi rampasan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 10:58 PM