X
YAMANI (enam kanan), Zakaria (empat kanan) dan Matbali (empat kiri) bersama jentera BERSATU di PDM Bandau. FOTO ihsan BERSATU Sabah.
YAMANI (enam kanan), Zakaria (empat kanan) dan Matbali (empat kiri) bersama jentera BERSATU di PDM Bandau. FOTO ihsan BERSATU Sabah.
Suzianah Jiffar


PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah termasuk wakil rakyat berkampung di Kimanis bagi membantu kempen calon Parti Warisan Sabah WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Mereka bukan sahaja melawat Pejabat BERSATU Bahagian Kimanis di Pekan Membakut, malah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Kimanis.

Selain melawat dan bermesyuarat bersama jentera BERSATU bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, mereka juga menemui pengundi dan rakyat Kimanis.

Ini termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kimanis berkempen dari pagi hingga malam, selain jentera sayap BERSATU terutama Srikandi dan Armada juga giat menganjurkan aktiviti serta program bersama pengundi dan rakyat Parlimen Kimanis.

Selain Ariffin, wakil rakyat BERSATU yang turut membantu adalah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Ketua Srikandi Sabah; ADUN Klias, Datuk Isnin Alisnih; Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa; ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidarkhan Bahadar; ADUN Lumadan, Matbali Musah; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dan ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor turut mengarahkan ahli dan penyokong BERSATU dalam kawasan Kimanis memberi sokongan sepenuhnya kepada Karim.

Katanya, mereka perlu berbuat demikian bagi memastikan kemenangan calon WARISAN dalam PRK itu.

Ini kerana katanya, WARISAN yang menerajui kerajaan negeri adalah kawan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan Persekutuan.

“Memandangkan PH dan WARISAN adalah kawan yang akrab, kita mesti tolong. Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH. Dalam saat begini (PRK), kita kena tolong kawan kerana calon WARISAN ialah kawan kita.

“Justeru ahli-ahli dan penyokong BERSATU dalam parlimen Kimanis mesti menyokong dan mengundi calon WARISAN bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis“, tegas Hajiji yang juga ADUN Sulaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 5:03 PM
Digital NSTP Subscribe